Tuesday, 16 December 2008

Apa Setelah Ramadhan?


Apabila masuk hari-hari terakhir bulan ramadhan, masing-masing sibuk menghitung hari. Sangat sedikit yang menghitung amal masing-masing. Di benak fikiran di antara mereka ada yang bertanya,

" berapa banyak wang yang aku persiapkan untuk raya tahun ni ?

" di mana aku nak beraya raya tahun ni ?

" baju warna dan fesyen apa yang aku nak pakai pada raya pertama, kedua, ketiga dan seterusnya?

Itu hakikat apa yang terjadi setiap tahun pada bulan yang mulia ini. Setiap kali memasuki bulan ramadhan, itu adalah menandakan persiapan untuk berhari raya bukan untuk membuat muhasabah diri dan perubahan pada diri masing-masing.

Hasilnya, ramadhan kelihatan begitu hambar dan tidak berapa bermakna buat diri masing-masing. Kalau dilihat ketika zaman kegemilangan Islam dahulu, bulan ramadhan adalah bulan yang amat di tunggu-tunggu akan ketibaannya. Tapi itu hanya dulu, hanya tinggal lembaran bacaan dan sejarah, bukan lagi untuk diikuti dan dicontohi.

Sudah menjadi kebiaasan umat Islam di merata tempat, bulan Ramadhan hanyalah bulan untuk bisnes, shopping dan persiapan untuk beraya sakan.

Benar apa yang telah Rasulullah sabdakan :

" Berapa banyak orang yang berpuasa, tapi mereka tidak mendapatkan apa-apa kecuali hanyalah lapar dan dahaga "

(Riwayat An Nasa'i & Ibnu Majah)

Pernahkah kita terfikir betapa penatnya kita berlapar dan dahaga pada siang harinya tapi kita termasuk dalam kategori orang yang Rasulullah maksudkan ?

Tentu kita merasa hampa dan marah jika kita bekerja sebulan penuh tetapi bila tiba akhir bulan kita tidak mendapatkan sebarang gaji daripada majikan. Begitulah ibaratnya orang berpuasa tapi tidak mendapatkan apa-apa kecuali penat sahaja.

Akhirnya, apa yang kita lihat, bulan ramadhan tidak memberikan apa-apa kesan pada individu-individu yang berpuasa. Setelah selesai dari ramadhan kehidupannya tetap sama, bahkan ada yang lebih teruk lagi daripada sebelum bulan ramadhan, na'uzubillah.

Apa yang menyedihkan lagi, hari raya yang sepatutnya dira'ikan dengan penuh kesyukuran dan pujian terahadap sang Pencipta telah dihiasi dengan berbagai ragam maksiat, lagu dan muzik raya lebih penting dari mengingati dan berzikir kepada Allah, halal dan haram tidak lagi diendahkan, pakaian saling menjadi satu perlumbaan, siapa yang paling mahal, siapa yang paling cantik dan siapa yang paling seksi, yang paling penting adalah MERIAH.

Kita lupa siapa diri kita, padahal baru diberikan kenikmatan yang sangat sedikit, kita lupa kepada saudara kita yang dalam kesusahan, kita lupa bahawa kanikmatan yang kita dapat ini hanyalah bersifat sementara. Kita lupa bahawa kita ini hanyalah seorang hamba, kita lupa bahwa kita akan mati suatu hari nanti dan kita juga lupa bahawa kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita telah lakukan. Memang KITA MUDAH LUPA….

Marilah kita muhasabah diri masing-masing, apakah Ramadhan yang telah aku lalui itu dengan berpuasa pada siangnya di terima dan diberkati oleh Allah ? Apakah amalan-amalan extra telah aku lakukan dalam bulan ini ? Adakah perubahan sikap yang dapat aku lakukan ? Dapatkan aku melatih diri aku untuk seorang sentiasa bersyukur dan sabar ? Dapatkah aku membuang sifat-sifat keji yang ada pada diriku ? Adakah sama sahaja ? atau ada peningkatan, atau lebih teruk lagi ? Penilaian bulanan ini harus ada jawapannya.

Jika sama sahaja, rugilah kita, jika ada peningkatan cubalah untuk jadi orang istiqomah, jika lebih teruk lagi, maka bertaubat kepada Allah dan cubalah untuk perbaiki diri.

No comments: