Wednesday, 2 May 2012

Indah Sebuah Keterpaksaan

Ketika kita mencapai usia enam bulan, masih ingatkah ketika ibu memaksa makan. Kadangkala kala si ibu terpaksa berjalan ke hulu dan ke hilir mengikut rentak si anak supaya makanan dapat disuap kepada anak walaupun sesuap dua. Bahkan si anak adakalanya menangis ketika disuap makanan kerana makanan tidak mengikut seleranya.

Ketika mencapai usia persekolahan pula, kita dipaksa oleh ibubapa dan guru untuk belajar suatu subjek atau pelajaran, walhal pelajaran tersebut tidak kita minati. Bahkan tidak cukup setakat itu, sebahagian kita di rotan oleh ibubapa kerana gagal dalam peperiksaan.

 Gambar hiasan


Hakikatnya, untuk hidup dalam keadaan baik, berjaya dan taat kepada Allah memang pada awalnya TERPAKSA. Namun di sebalik keterpaksaan itu ada suatu hikmah yang sukar di duga oleh akal kita.

Yang jelas, hikmah dipaksa untuk makan ketika masih kecil dan dilarang memakan ‘jajan’ akan menjadikan anak itu sihat dan mampu menjalani hidup dengan baik. Dipaksanya belajar dengan baik hingga sanggup memarahi dan merotan anak akan menjadikan si anak orang berguna buat diri dan masyarakat.

Begitu juga dalam hidup bersyariat. Untuk menunaikan tanggungjawab kepada Tuhan yang Maha Esa tidaklah mudah. Berapa ramai di antara kita yang kecundang di tengah jalan kerana tidak sanggup dengan ‘keterpaksaan’. Walhal terpaksa itu kadangkala lebih baik bagi masa depan di dunia dan akhirat.

Monday, 13 February 2012

Ketika Anak Telah Bersedia Untuk Belajar


"Nak Kuku", itulah ungkapan Mirza meminta untuk di berikan buku-bukunya. Ayah mana yang tidak gembira dan terharu apabila si anak mula cuba untuk berinteraksi menggunakan bahasa yang telah dipelajari sendiri dengan mendengar. Perkembangan ini telah 'memberitahu' pada saya bahawa DIA SUDAH MULA BELAJAR'. Mungkin jika dilihat Mirza hanya sekadar bermain dan melihat gambar semata-mata. Namun pada hakikatnya ada sesuatu yang sedang dia cuba fahami dan serapi dalam mindanya.