Monday, 14 March 2011

Hidayah Tidak Datang Bergolek

Perkataan hidayah sememangnya sering didengar dan disebut. Namun secara fizikalnya ia biasanya lebih difahami dengan pemahaman 'petunjuk kearah kebaikan'. Hidayah sering juga dikaitkan dengan amalan sehari-hari, jika seseorang itu melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam syariat maka dia akan dilabel sebagai orang yang belum mendapat hidayah. Banyak yang merungut dan merintih dengan perkataan "bilalah dia hendak mendapatkan hidayah" jika salah seorang ahli keluarganya atau rakanya masih saja melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah.

Pun begitu, perlu diingat kedudukan hidayah itu bukanlah seratus peratus kedudukannya boleh ditentukan oleh manusia. Bahkan ia memerlukan dua faktor dalam mendapatkannya, pertama faktor dari Allah dan yang kedua pula faktor dari diri sendiri.
Banyak contoh yang telah Allah gambarkan di dalam Al Qur'an begitu juga disebalik cerita-cerita sejarah para Nabi yang menggambarkan keadaan dan kedudukan sebenar dalam menjayakan konsep hidayah. Dalam surah Maryam Allah ada menceritakan tentang Nabi Ibrahim a.s dengan bapanya yang bermaksud :

“Ingatlah ketika ia berkata kepada bapanya : “Wahai bapaku, mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikitpun?

“Wahai bapaku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku nescaya aku akan menunjukkanmu ke jalan yang lurus.

“Wahai bapaku, janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya itu derhaka kepada Tuhan yang maha pemurah

Wahai bapaku, sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu nanti ditimpa azab dari Tuhan yang maha pemurah, maka kamu akan menjadi kawan syaitan.

“Berkata bapanya, Bencikah kamu kepada tuhan-tuhanku hai ibrahim? Jika kamu tidak berhenti, maka nescaya kamu akan ku rejam, dan tinggalkan aku bua waktu yang lama”

“Berkata Ibrahim, “Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan meminta ampun bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia itu sangat baik kepadaku”

“Dan aku akan menjauhkan diri daripadamu dan dari apa yang kamu seru selain Allah, dan aku akan terus berdoa kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku” (Surah Maryam : 42-48)

Cuplikan kisah di ayat-ayat tersebut menceritakan tentang bagaimana susahnya Nabi untuk mengajak ayahnya untuk sama-sama di dalam ajaran Tauhid yang telah Allah gariskan. Malah, beberapa kesimpulan penting juga dapat kita ambil dalam usaha seseorang itu membantu manusia yang lain dalam medan dakwah :

1) Teguran dan dakwah adalah bermula dengan orang terdekat, iaitu ahli keluarga.

2) Intipati teguran biarlah logik yang boleh menggerakkan minda, tidak semata-mata perpandukan dalil tanpa menyatakan titik pembahasan utama.

3) Tidak memarahi atau benci jika orang yang ditegur atau didakwahi itu menolak tegurannya.

4) Mendoakan untuk orang yang didakwahi semoga Allah memberinya keampunan dan petunjuk ke jalan yang benar.

5) Mufaraqah (boikot atau jauhkan diri) dari orang yang didakwahi jika masih degil dan melakukan maksiat.

Demikian juga dengan kisah Nabi junjungan tercinta Muhammad s.a.w ketika di awal proses dakwah di Makkah, tentunya yang membantu dan menyokong beliau dari belakang adalah pakciknya Abu Talib yang kufur terhadap ajarannya. Pun begitu beliau sangat prihatin terhadap Nabi.Beliau pernah menolak tawaran kaumnya untuk menggantikan anak saudaranya itu dengan pemuda yang lebih baik pada pandangan mereka. Abu Talib lebih memilih untuk berbincang sendiri dengan anak saudaranya iaitu Nabi Muhammad. Nabi Muhammad dipanggil bertemu dengannya dan beliau meminta dengan cara yang baik supaya Nabi menghentikan dakwahnya kepada kaum Quraisy. Namun, tindak balas Nabi Muhammad kepada pakciknya itu cukup jelas dan tegas, beliau bersabda :

“ Wahai pakcikku, demi Allah, andaikan mereka meletakkan matahari ditangan kananku dan bulan ditangan kiriku supaya aku meninggalkan agama ini, hinggalah Allah memberiku kemenangan atau aku ikut hancur kerananya, maka sekali-kali aku tidak akan meninggalkannya”

Abu Talib menitiskan air mata, seraya bangkit dan berkata :

“Pergilah wahai anak saudaraku dan katakan lah apa yang engkau sukai. Demi Allah aku tidak akan menyerahkan dirimu kepada sesiapapun”. Lantas melantunkan syair :

“Demi Allah, Mereka semua tidak akan boleh menjamahmu hingga aku terbujur kaku di dalam tanah,Tampakkanlah urusanmu dan jangan kurangi, pilihlah yang engkau suka dan senangi”

Demikianlah kuatnya pengorbanan Abu Talib kepada Nabi Muhammad, tetapi sayang sekali hidayah tidak menyebelahi dia. Di akhir-akhir nafas hayatnya Nabi menangis meminta supaya beliau mengucap dan mengiktiraf Allah sebagai Tuhannya. Namun, dia tetap saja dengan pendiriannya hingga rohnya dicabut pergi.

Begitulah hidayah, begitu sukar untuk diteka, jika Allah kehendaki maka Dia akan berikan dan jika Dia enggan, maka akan binasalah orang tersebut. Allah Berfirman :

"Sesungguhnya engkau tidak mampu memberikan petunjuk (hidayah) kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang dia kehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”(Surah Al Qosos , 28 : 56)

Ini menunjukkan bahawa dalam hal ini manusia sangatlah lemah dan tidak mampu untuk mengubah manusia kecuali dengan izinNya. Kerja memberi hidayah itu adalah hak mutlaq di sisi Allah sahaja. Pun begitu, usaha tetap usaha, ikhtiar harus diteruskan kerana hikmah dan sunnah alam terletak disitu. Dengan demikian tidak mungkin seorang yang bergelar pendidik, pendakwah atau pemberi nasihat kepada manusia yang lainnya untuk melupakan campur tangan Allah atau meletakkan Allah di sisi yang lain ketika menjalankan amalan yang baik tersebut. Wallahua'lam

2 comments:

Unknown said...

Alhamdulillah,,,terbaik dari ladang...tunggu ana balik nanti,dapat kiranya bersama dalam berdakwah,,,amin

Unknown said...

Mohd Syafiq bin Mazlan...Madinah Al
Munawwarrah