Friday, 22 October 2010

Hagai Masa Yang Ada

Seorang mukmin tidak akan membiarkan masa yang ada berlalu begitu sahaja seperti air yang mengalir yang tak akan kembali lagi. Seorang mukmin sentiasa merasakan seminit itu itu ibarat sejam. Phillis Wheatly telah menghasilkan puisinya ketika beliau berstatus hamba. Anda sendiri tahu bagaimana pekerjaan hamba. Ia sentiasa harus bersiap sedia tidak kira malam atau siang untuk memenuhi keperluan majikannya.

Begitu juga Nabi junjungan kita Muhammad s.a.w. Beliau membawa gelaran dan amanah sebagai Nabi untuk membela umat seluruh alam dan pada masa yang sama beliau juga seorang bapa dan juga suami. Beliau juga seorang imam di masjid dan beliau juga seorang panglima dalam peperangan dan peniaga. Itu semua tidak menjadikan beliau orang yang gagal dalam merancang masanya bahkan orang yang cemerlang dalam mengurus masa. Bagaimana? Masa dan waktu yang diberikan semuanya sama. Saya dan anda dan seluruh manusia yang ada didalam muka bumi ini telah diagihkan dengan masa 24 jam sehari dengan adil. Tidak ada yang kurang dan tidak ada yang lebih! Tapi mengapa masih merasakan masa kita tidak cukup untuk melakukan amalan-amalan yang diperintahkan oleh Tuhan yang maha Esa?

Kurangnya Ilmu Teknikal

Setiap manusia diberi masa dan waktu yang sama. Namun cara penggunaan yang berbeza-beza. Seperti orang diberikan parang untuk menebang pohon pisang. Munkin ada yang dengan sekali libasan pohon tersebut akan jatuh, dan ada juga yang memerlukan lebih dari satu libasan untuk menjatuhkan pohon tersebut. Mengapa ? Kerana cara penggunaan yang berbeza. Orang pertama menghayunkan parang tersebut dengan cara yang serong dan orang kedua pula menebang dengan cara mendatar. Kedua-duanya mempunyai tujuan yang sama iaitu menebang pohon pisang tetapi cara yang berbeza. Cara sangat memainkan peranan penting dalam setiap faktor keberjayaan amalan dan pekerjaan seseorang.

Sentiasalah berusaha untuk mencari dan terus mencari perkara-perkara yang baru yang boleh memberikan manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat. Jangan bosan untuk menuntut ilmu dimana pun anda berada. Ilmu tidak hanya ada sekolah atau universiti sahaja. Ilmu itu maha luas dan ada dimana sahaja. Buang persepsi diri bahawa ‘hanya yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi sahaja yang boleh berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat ini’.

Hidup di Malaysia ini telah dilangkapi dengan seribu satu kenikmatan. Tidak ada alasan di hadapan Allah nanti bahawa ilmu tidak sampai kepada anda. Tidak ada alasan lagi tiada guru yang mahu mengajarkan kepada anda. Semua ilmu sekarang amat mudah diperolehi. Berapa banyak buku-buku ilmiah yang telah berjaya dicetak dan berapa banyak kitab-kitab ulama-ulama yang masyhur telah diterjemah kedalam bahasa ibunda dan tersebar dikedai-kedai buku dan perpustakaan-perpustakaan.

Persoalanya kembali pada diri masing-masing sama ada kemahuan ada ataupun tidak untuk mengambil ilmu tersebut. Jadilah seperti bayi yang sentiasa perlukan perkara yang baru! Yang terus mencari dan mencuba perkara yang baru dan tidak pernah bosan. Pernahkah anda melihat bayi kepenatan dan benci untuk bertatih berjalan selepas dia jatuh dan menangis? Atau merasa penat untuk merangkak dan memilih baring sahaja sehingga benar-benar kuat ketika berumur 2 atau 3 tahun?

No comments: