Minggu ini, rasanya minggu yang agak memenatkan. Mungkin pertembungan antara beberapa kerja adalah faktor utama.Rehat dan santai yang saya bayangkan untuk minggu cuti sekolah dan raya idhul adha ini kelihatannya hanya tinggal bayangan dan jadi kenangan sahaja. Permintaan kuliah dan kelas malam nampaknya semakin rancak pula apabila cuti sekolah tiba. Begitulah kehidupan, semakin meningkatnya hari dan umur semakin juga meningkatnya tanggungjawab.
Padahal, peperiksaan madrasah baru sahaja selesai pada minggu yang lalu. Tapi bahang sibuk masih terasa.
Apa yang kadang-kadang selalu bermain dalam fikiran saya sejak akhir-akhir ini adalah hasil yang akan keluar dari peperiksaan pelajar tidak lama lagi. Adakah memuaskan ? Atau biasa-biasa sahaja dan sama seperti dahulu ?
Apabila perjumpaan dengan ibubapa dibuat untuk tujuan evaluasi , munkin itu juga menjadi satu beban apabila harus "berdebat" untuk mencari faktor dan punca setiap kegagalan yang berlaku pada sebahagian pelajar. Dasar kebiasaan yang dipersalahkan adalah sekolah.
"Saya dah bayar yuran setiap bulan, itu bermakna saya dah serahkan tanggungjawab kepada sekolah untuk didik anak saya..."
"Saya sebenarnya sekolah anak bukanlah untuk memberatkannya, tapi sekadar syarat saja, jadi pihak sekolah janganlah terlalu ambil berat sangat kalau dia gagal"
Itulah antara alasan sebahagian ibubapa apabila bila berbincang mengenai kegagalan khususnya.
Memang sudah tanggungjawab seseorang pendidik untuk MEMBERI KEFAHAMAN. Bukan hanya melepaskan batuk ditangga. Kadang-kadang otak menjadi buntu akibat jurang perbezaan fikrah yang jauh diantara guru dan ibubapa tentang konsep penerapan pendidikan islam. Bukan mudah untuk memberi kefahaman kepada seseorang apatah lagi jika seseorang itu sudah sebati bertahun-tahun dengan kefahaman lamanya khususnya dalam memandang konsep pendidikan Islam.
Mentarbiah pelajar pada zahirnya bukanlah hanya tertumpu pada sang pelajar sahaja, bahkan pada ibubapanya juga akan terlibat sama. Kerana perubahan seseorang pelajar sebenarnya adalah sebahagian dari tindakbalas perubahan ibubapanya. Dan seseorang guru (murabbi) sudah seharusnya memikirkan bagaimana pentarbiahan yang dilakukannya itu sampai kepada ibubapa sang pelajar juga. Kerana pendidikan Islam kebanyakannya yang diterapkan dimadrasah-madrasah adalah berbentuk "Amali/Thotbiqi" (praktikal) berbanding "Nazhori"(teori).
Dan para ibubapa juga diharapkan janganlah terlalu mengharapkan 100% kepada madrasah untuk mengubah anak mereka selagi mereka tidak mengubah diri mereka sendiri. Kerana hakikatnya, tanggungjawab mendidik tidak boleh diperjual belikan. Mereka tidak akan mampu mendidik anak-anak mereka selagi diri mereka tidak terdidik. Berapalah jika hendak dibandingkan harga yuran setiap bulannya dengan harga tanggungjawab mendidik, memerhati, mengambil tahu perihal anak-anak. Ini semua memerlukan pengorbanan untuk menutut ilmu tentang agama mereka sendiri. Wallahu 'alam.
No comments:
Post a Comment